• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Taman Burung Tarikan Terbaru Taman Tamadun Islam

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Projek taman burung yang merupakan antara tiga produk pelancongan baharu yang bakal diperkenalkan di Taman Tamadun Islam (TTI) sebelum akhir tahun ini dilihat mampu menjadikan lokasi berkenaan destinasi pelancongan ‘wajib singgah’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, selain itu taman tema mini dan muzium tiga dimensi juga antara yang diusahakan kerajaan negeri untuk direalisasikan di TTI bagi melonjakkan kehadiran lebih ramai pelancong.

“Kita mempunyai beberapa produk untuk memberi nafas baharu kepada TTI termasuk projek taman burung ini tetapi semuanya bergantung kepada sumber kewangan.

“Kita akan perjuangkan perkara ini untuk mendapatkan kelulusan bajet daripada kerajaan negeri agar ianya dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui  selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.

Ariffin berkata, pihaknya sedang giat mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan berhubung projek berkenaan termasuk soal konsep serta kesesuaian lokasi.

“Ianya merupakan antara usaha kerajaan negeri bagi membaik pulih dan memberi nilai tambah produk pelancongan sedia ada yang didapati kurang berdaya maju bagi meningkatkan hasil pulangan sektor tersebut kepada ekonomi negeri,” ujarnya.