• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Taman Pertanian Sekayu Rugi RM1 Juta Akibat Banjir

HULU TERENGGANU, 1 Mac - Taman Pertanian Negeri Sekayu (TPNS) terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta susulan kerosakan akibat banjir besar yang melanda daerah ini sejak jumaat lepas.

Pengurus TPNS, Mohd. Amran Awang berkata, jumlah itu meliputi beberapa prasarana di TPNS termasuk kolam tema yang dijangka dibuka pada hari ini.

"Antara kerosakan lain, melibatkan dewan besar yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu masa, asrama penginapan untuk pengunjung, dewan makan, surau dan tapak khemah untuk 400 peserta.

"Kerugian ini juga melibatkan Pusat Repisotori Kelulut Indo-Malaya  bernilai RM300,000 dan jalan serta hakisan tebing sungai sepanjang 500 meter persegi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di TPNS, di sini hari ini.

Jelasnya, kerosakan pada sistem pendawaian elektrik dijangka mengambil masa tiga bulan untuk dibaik pulih.

Tambah Amran, kejadian banjir di kolam tema pula, merupakan yang paling teruk sepanjang dia berkhidmat kerana ia lazimnya terjadi di kawasan air terjun Hutan Lipur Sekayu yang terletak berdekatan.

"Pada tahun 2014, pernah berlaku banjir di kolam mandi tapi tidak seteruk sekarang sebab kita dah bina benteng bagi menghalang limpahan air pada 2017.

"Ketinggian air di taman tema ialah dua meter dan lumpur yang berada di dasar kolam ialah 0.5 meter jadi menyukarkan untuk kerja-kerja pembersihan,"ujarnya.