• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Taman Rekreasi Bukit Besar Ditutup Elak Pelanggaran PKPB

KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBN) mengambil tindakan menutup sementara Bukit Besar dan Taman Rekreasi Hiliran selama dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu ini, bagi mengelakkan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kalangan masyarakat Kuala Terengganu.

Ketua Sekretariat JPBN, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan, pemerhatian JPBN sepanjang minggu pertama Aidilfitri mendapati kebanyakan penduduk mengambil peluang beriadah selepas tempoh ziarah dihadkan kerajaan Persekutuan pada hari raya pertama sahaja.

“Oleh kerana kita masih dalam tempoh PKPB, apabila ramai datang ke sini mereka tidak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan kita dapati keadaan tidak terkawal.

"Jadi, kita ambil keputusan menutup sementara lokasi ini di hujung minggu bagi mengelakkan perkumpulan penggiat sukan yang kebiasaannya lebih ramai pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu melakukan tinjauan di Bukit Besar, awal pagi hari ini.

Jelasnya, penutupan tersebut hanya bersifat sementara untuk memastikan pematuhan PKPB terus dilaksanakan.

“Kita akan sentiasa lihat dari masa ke masa, jika masih tidak terkawal kita akan tutup lokasi ini sehingga suatu tarikh yang ditetapkan JPBN nanti.

“Sebenarnya, kerajaan negeri telah menyediakan banyak kawasan-kawasan yang boleh digunakan untuk beriadah seperti di Kompleks Sukan Gong Badak dan di kawasan berhampiran jambatan angkat. Jadi, pengunjung dan atlet mempunyai banyak alternatif untuk beriadah dengan SOP yang boleh dipatuhi secara optimum,” tambahnya.

Menurutnya, aspek kecergasan memang diakui sangat diperlukan, cuma penggiat sukan perlu faham mereka harus menjalankan mengikut SOP yang ditetapkan.

“Saranan kami, kita akan berada dalam tempoh norma baharu untuk jangka masa lama, jadi penggiat sukan harus mengamalkan budaya norma baharu dan penjarakan sosial.

“Masyarakat perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 dan perlu diingat supaya tidak membawa anak-anak kecil dan warga emas kerana mereka lebih berisiko,” katanya.


Tag: