• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tambah Kerusi DUN Ikut Jumlah Pengundi

Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu mengikut jumlah pengundi.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Haji Yahaya Ali berkata, sudah tiba masanya bagi negeri itu untuk menerima hak yang sepatutnya.

"Saya berpendapat sudah sampai masanya kajian dan usaha-usaha yang lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menambah kerusi DUN.

"Supaya mengikut demografi penduduk dan kemudahan kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertugas mengikut jumlah pengundi yang munasabah dan lain-lain prinsip yang disyorkan oleh pihak SPR," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pembukaan Persidangan Mesyuarat Kali Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 14 di U2, Wisma Darul Iman, semalam.

Menurutnya, kedudukan kerusi yang ada dalam DUN Terengganu iaitu sebanyak 32 dan penambahan satu kerusi iaitu ADUN Wanita yang dilantik.

"Tambahan kerusi kepada DUN kita yang terakhir berlaku pada tahun 1984 iaitu 36 tahun yang lalu dan tiada lagi pertambahan kerusi berlaku selepas itu," jelasnya.


Tag: