KUALA TERENGGANU, 11 November – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan tidak akan berganjak daripada tarikh 29 November ini untuk mengambil tindakan tegas, termasuk menyita hampir 15,000 hektar tanah milik kerajaan negeri yang telah dibangunkan tanpa hak milik sah sejak tahun 1985 oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Kelestarian dan Alam Sekitar Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, berkata tindakan itu bakal diambil berikutan kegagalan FELDA menyelesaikan isu itu yang telah dirunding bersama berapa tuntutan sebelum ini.
Kata beliau, kerajaan negeri menuntut 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit) hasil ladang yang dibangunkan FELDA di empat daerah iaitu Kemaman, Dungun, Marang dan Setiu, sebagai syarat utama sebelum sebarang hak milik tanah diberikan.
Ujarnya lagi, FELDA telah menikmati hasil tanah berkenaan selama 40 tahun tanpa membayar premium dan cukai tanah, menyebabkan negeri kehilangan hasil kira-kira RM600 juta termasuk cukai, premium dan keuntungan perkongsian.
“Sejak saya diamanahkan untuk mengambil alih pengurusan isu ini daripada tahun 2018, enam surat rasmi dihantar kepada FELDA tanpa maklum balas.
“Hanya pada April 2024 mereka bersetuju duduk semeja, namun selepas 18 bulan tiada angka konkrit diberikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, semalam.
Dr. Azman menjelaskan, mesyuarat pada 1 Oktober 2025 juga gagal memuktamadkan sebarang keputusan kerana pihak FELDA tidak membentangkan sebarang angka kepada Lembaga Pengarah FELDA.
Menurutnya, Terengganu menuntut hak sama daripada FELDA berhubung hasil perkongsian keuntungan tanah milik kerajaan negeri meliputi 10 ladang milik fGV seluas kira-kira-15,000 hektar.
“Kita beri tempoh akhir 29 November ini. Jika gagal, kerajaan negeri akan mengeluarkan Notis 425 (Pencerobohan Tanah Kerajaan) secara serentak di 10 ladang terlibat dan memulakan tindakan undang-undang termasuk saman sivil serta penyitaan aset,” tegasnya.
Menurutnya lagi, walaupun tindakan undang-undang disediakan, kerajaan negeri masih membuka ruang perbincangan sekiranya FELDA bersedia tampil dengan tawaran angka perkongsian keuntungan yang munasabah.
“Kita tak boleh nak beri masa lebih lama, isu ni kena selesaikan dalam tempoh satu bulan tapi FELDA minta 60 hari iaitu dua bulan tetapi kita ambil jalan tengah iaitu 40 hari untuk bagi keputusan,” kata beliau.