• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Tanah Perkuburan Islam Seberang Pintasan Dibaikpulih

DUNGUN, 29 Oktober – Kerja-kerja baikpulih dan meluaskan tanah perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan sedang giat dijalankan ekoran kebimbangan penduduk dengan keadaan kubur yang hampir padat.

Proses menambak tanah paya berkeluasan sekitar tiga hektar bersebelahan tanah perkuburan itu telah dimulakan baru-baru ini.

Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Pintasan itu berdepan masalah kekurangan ruang untuk menampung penduduk di kawasan sekitar Kampung Balik Bukit, Kampung Kumbang Putat dan Kampung Teluk Bidara termasuk warga Kampung Seberang Pintasan sendiri.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengambil inisiatif menyalurkan peruntukan dibawah seliaan beliau sebanyak RM100,000 sebagai kos bagi kerja menambak tanah berpaya yang sebelum ini sudah diwartakan sebagai tanah perkuburan.

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seberang Pintasan, Fauzi Ibrahim berkata, sekiranya tanah berpaya itu tidak ditambak, ini akan menyebabkan tanah perkuburan sedia ada tidak lagi dapat menampung jika berlaku kematian.

“Sekiranya kerja menambak tanah itu siap, ia mungkin boleh dimanfaatkan untuk jangka masa yang lama dan juga dapat menyelesaikan masalah yang dialami masa kini.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun yang telah mengambil cakna dalam permasalahan yang berlaku di kampung ini,” ujarnya .

Sementara itu, Wan Hassan berkata, sebagai wakil rakyat Dungun, isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung perlu diambil perhatian dan diselesaikan secepat yang mungkin.

Beliau yang ditemui di pejabatnya menyatakan bahawa peruntukan yang disalurkan sebanyak RM100,000 tersebut sudah memadai bagi menyiapkan proses kerja-kerja baik pulih di kubur berkenaan.

"Alhamdulillah, dengan peruntukan yang kita ada, kita dapat menyelesaikan isu rakyat dan buat masa kini kerja-kerja baikpulih sedang giat dijalankan," ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kerja-kerja baik pulih di kubur berkenaan sudah mencapai proses akhir dan akan siap sepenuhnya dalam masa terdekat.


Tag: