• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tanah Rizab Melayu Terengganu Meningkat 1,542 Peratus

KUALA TERENGGANU, 8 Mac – Kerajaan negeri berjaya menambah keluasan tanah rizab melayu (TRM) di Terengganu sebanyak 1,542 peratus atau daripada 118 kepada 1,938.32 hektar sepanjang empat tahun pemerintahan.

Perkara itu disahkan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Jelas kenyataan itu, setakat tahun 2018 Terengganu hanya memiliki 118 hektar TRM iaitu di Pekan Kuala Berang, Hulu Terengganu.

“Ia sudah ditingkatkan, jumlah keseluruhan TRM sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak 1938.32 hektar,” kata kenyataan itu.

Untuk rekod, selain TRM, Terengganu turut mempunyai satu lagi jenis milikan tanah orang Melayu yang tidak terdapat di negeri lain, iaitu ‘tanah pegangan Melayu’ (TPM), merangkumi sekitar 62 peratus tanah orang Melayu di Terengganu.

Difahamkan TPM tidak boleh ditukar milik kepada orang selain daripada Melayu. 

Pada PRU14 lalu, PAS telah membuat janji dalam 20 perkara manifesto untuk menambah keluasan TRM kepada 1,000 hektar.


Tag: