• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Tanah Runtuh Usai Berbuka Puasa




Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 9 Mei - Seorang penduduk Taman Setia, Al-Muktafi Billal Shah (AMBS), Mazuki Abdullah 52, berdepan detik cemas apabila tanah di hadapan rumahnya runtuh sehingga berlaku keretakan pada struktur rumah sebaik selesai berbuka puasa, petang semalam.

Pegawai Penyelaras Dewan undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Pada kebiasaanya kes seumpama ini akan diberi bantuan bencana dengan segera.

"Mazuki ini juga merupakan seorang daripada 303 penerima zakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika meninjau rumah mangsa, di AMBS, Bukit Besi, petang semalam.

Ghazali berkata, antara punca kejadian adalah mendapan yang berlaku akibat hujan lebat yang beserta ribut kencang.

"Menjelang Ramadan dan pada hari kedua Ramadan berlaku hujan dan angin yang cukup kuat kerana peralihan angin monsun.

"Yang mana mengikut kajian cuaca hujan dijangkan beserta ribut dan angin kencang pada sebelah petang dan awal malam,"ujarnya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar penduduk di Bukit Besi berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang kemungkinan yang berlaku.

Beliau juga berharap dan mengajak semua mendoakan supaya bencana itu tidak berpanjangan.


Tag: