• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Tanam Semangat Patriotik Melalui Jalur Gemilang

Nawyi sedang menyiapkan hiasan di laman rumahnya sempena bulan kemerdekaan
HULU TERENGGANU - Berbekalkan semangat patriotik dan cintakan tanah air, seorang penduduk mewajibkan dirinya dan keluarga menghiasi halaman rumah dengan Jalur Gemilang dan binaan kreatif sejak 10 tahun lalu apabila menjelang bulan kemerdekaan.

Meskipun tinggal di pedalaman, Nawyi Eseh, 54, dari Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Hulu Terengganu tidak lokek membelanjakan kira-kira RM200 untuk menghiasi kediaman mereka dengan Jalur Gemilang dan hiasan dari hasil terbuang.

"Saya guna duit setakat yang ada sebab kami bukan orang senang. Jadi sekadar yang mampu sahaja dan yang penting semangat patriotik dalam diri kami sekeluarga tetap kuat dalam apa jua keadaan.

“Sudah lebih 10 tahun kami ambil kesempatan sempena merdeka untuk hias rumah sebagai satu semangat patriotik walaupun sekadar suka-suka tanpa ada pertandingan dari mana-mana pihak.

“Setiap kali sambutan kemerdekaan, saya dan keluarga mesti teruja dan selalunya menggunakan apa yang ada termasuk yang digunakan sebelum ini bagi menghias rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini (7 September).

Tahun ini, Nawyi yang merupakan bapa kepada lima orang anak, menggunakan tema ‘Sayangi Malaysia’ pada hiasan di halaman rumah dengan membina beberapa elemen baharu iaitu Galeri Sejarah, Menara Tinjau, Perahu Merdeka, Helikopter dan beberapa lagi hiasan yang sedang disiapkan untuk pertandingan anjuran Jabatan Penerangan.

Beliau berkata, semua hiasan itu dibina daripada bahan terbuang dan terpakai dengan bantuan isterinya Zaimah Mamat, 55, yang bekerja sebagai pembantu kantin di sekolah berdekatan termasuk jiran-jiran terdekat yang turut menyumbangkan idea dalam menghiasi terataknya itu.

Katanya lagi, untuk menjadi kreatif seseorang tidak perlu membazirkan wang yang banyak tetapi memerlukan daya pemikiran dan semangat kerjasama berpasukan serta dorongan daripada keluarga.

"Sebenarnya saya nak buktikan kepada orang muda yang sudah tidak mempunyai semangat patriotik bahawa umur bukan penghalang jika roh dan perjuangan merdeka masih menebal dalam diri.

"Orang muda perlu menoleh ke belakang dan merenung balik perjuangan nenek moyang yang berjuang menentang penjajah demi memerdekakan tanah kelahiran mereka. Barulah mereka akan merasai 'nur' kemerdekaan ini," kata Nawyi.

Ditanya tentang persepsi orang ramai terhadap obsesinya terhadap sambutan kemerdekaan setiap tahun, dia tidak menafikan masih ada yang tidak dapat menerimanya dengan baik.

"Ada juga yang mencemuh dan memandang sinis apa yang saya buat namun tidak menjejaskan semangat saya untuk mengenang perjuangan dalam menuntut kemerdekaan melalui persepsi tersendiri," ujarnya.






Tag: