• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Tandas Awam Rantau Abang Terengganu Terbaik Di Asia Tenggara

Foto ihsan - Majlis Perbandaran Dungun
DUNGUN, 22 Januari - Tandas awam di Rantau Abang menjadi satu-satunya tandas dari wilayah Pantai Timur yang diiktiraf sebagai salah satu tandas terbaik dalam kategori ASEAN Public Toilet Standard 2019-2021 sempena ASEAN Tourism Forum 2019 yang diadakan di Ha Long City, Vietnam, Jumaat lalu.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi yang menyaksikan ia menjadi salah satu daripada lima tandas dari Malaysia yang turut terpilih dalam kategori tersebut.

Tandas lain yang terpilih ialah tandas awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tandas awam restoran Foh San dari Perak, tandas Masjid Cina Melaka, dan tandas awam Plaza Merdeka, Sarawak.

Sebelum ini, tandas awam yang terletak bersebelahan Pusat Konseversi dan Penerangan Penyu Rantau Abang itu bersaing dengan 15 tandas awam lain dari seluruh Malaysia yang tercalon untuk penganugerahan itu.
Fadli ketika menerima anugerah daripada Datuk Mohamaddin.
Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Fadli Yusof Zakaria berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada MPD selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyelia tandas Rantau Abang dan juga seluruh warga Dungun.

“Anugerah ini merupakan sesuatu yang membanggakan kerana ia menunjukkan bahawa rakyat Terengganu dan Dungun khususnya bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan tandas di negeri ini sentiasa bersih serta bebas daripada vandalisme.

“Ia juga dapat menyedarkan masyarakat bahawa kebersihan tandas adalah tanggungjawab kita bersama.

“Saya berharap agar masyarakat dapat menggunakan harta benda awam dengan lebih berhemah supaya kemudahan yang disediakan dapat dinikmati semua,” katanya ketika mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat menerima anugerah tersebut.
Bersama pemenang-pemenang anugerah dari Malaysia dalam pelbagai kategori.















Tag: