• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tandukan Penang Lebur Hasrat Terengganu

KUALA NERUS, 1 Mei- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terlepas peluang untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak Liga Super 2021 apabila tewas 1-4 kepada Penang FC dalam aksi terakhir pusingan pertama, sebentar tadi.

Empat gol menerusi tandukan yang dijaringkan Penang FC melonjakkan pasukan tersebut ke tangga ketiga dengan 22 mata.

Beraksi di laman sendiri, anak-anak buah Nafuzi Zain dikejutkan gol seawal minit ketujuh perlawanan apabila Sheriddin Boboev menanduk masuk sepakan sudut Endrik Dos Santos untuk Penang selesa di depan.

Tuan rumah cuba bangkit menyamakan kedudukan tetapi pelawat lebih mendominasi perlawanan.

Skuad kendalian Tomas Trucha lebih banyak melancarkan serangan ke kubu Terengganu FC.

Pada minit ke-21, Sang penyu sekali lagi tewas hasil sepakan sudut lawan.

Tandukan Casagrande berjaya ditepis Mohd Suhaimi Husin, namun Boboev sempat melakukan lorongan yang ditanduk mudah Endrik Dos Santos untuk Penang mendahului 2-0.

Pada minit ke-42, David Da Silva hampir meledakkan gol buat Sang Penyu, tetapi tandukannya ditepis See Tian Keat.

Kedudukan kekal 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan tempo serangan dan berhasil merapatkan kedudukan melalui rembatan luar kotak Mohamad Hakimi Abdullah pada minit ke-59.

Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang tidak menunggu lama untuk membalas.

Pada minit ke-65 Casagrande menanduk masuk hantaran lintang Quentin Jiun-Ho untuk gol ketiga Penang.

Tiga minit kemudian, penyerang dari Brazil itu sekali lagi menunjukkan taringnya dengan menanduk masuk hantaran lintang Danial Ashraf untuk pelawat selesa dengan empat gol.

Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan dan Terengganu FC jatuh di tangga keempat liga dengan 21 mata.

 

 

 

 

 


Tag: