• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Tangan Ajaib Warga Emas Terengganu


KUALA TERENGANU, 14 Februari - Daripada sekadar suka-suka mewarna batik untuk mengisi masa lapang, seorang warga emas jatuh cinta terhadap pekerjaan tersebut.

Walaupun Hitam Taib, 74, mula belajar mewarna batik ketika usianya sudah lanjut, namun bakat dan kemampuannya ‘bermain’ berus bagi menghidupkan corak batik yang siap dicanting sangat mengagumkan.


Semuanya bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila dia menyatakan minat untuk mendalami ilmu mewarna kepada anaknya, Noor Hayati Said, 46, yang mengusahakan pembuatan batik di kediamannya yang terletak di Kampung Kubang Machang, Kepong.

Ibarat memiliki tangan ajaib, sentuhan tangan warga emas itu setanding mereka yang pakar dan mampu mewarna batik pada kualiti yang bermutu tinggi.

Noor Hayati berkata, dia tidak pernah memaksa ibunya dan semuanya atas kerelaan warga emas yang suka mencuba itu.


“Mak selalu lihat saya mewarna batik di bengkel dan dia pun berminat untuk lakukan perkara yang sama dan saya tidak pernah menghalangnya.

“Dia terus mencuba sehingga mampu mewarna dengan baik dan lebih menakjubkan mata mak masih cerah macam orang muda,” ujarnya ketika ditemui di bengkel tersebut, baru-baru ini.

Menurut Noor Hayati, seni mewarna batik sememangnya telah sebati dengan diri ibunya dan tidak hairanlah walaupun menghidapi kencing manis dan kadang-kala diserang asma, ibunya itu tetap akan turun ke bengkel selagi kesihatannya mengizinkan.

Tag: