• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Tangki Air Tambahan Bantu Penduduk Terjejas

KUALA NERUS, 3 Ogos - Ketiadaan air berikutan kerosakan paip di dasar Sungai Terengganu mengundang keresahan penduduk tempatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, susulan itu pihaknya telah mengambil langkah dengan membekalkan tangki air untuk kegunaan penduduk.

“Pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) memang ada membekalkan tangki air yang ditempatkan di Pekarangan Masjid Kampung Buluh Gading, namun ia masih tidak mencukupi.

“Oleh itu, kita bantu dengan membekalkan tangki air ke setiap kampung yang terjejas,” ulas beliau ketika meninjau proses pengambilan air di Kampung Buluh Gading hari ini.

Beliau juga memaklumkan, pihak SATU akan membekalkan air menggunakan lori tangki ke setiap lokasi tangki air tambahan yang diletakkan di setiap kampung terjejas.

“Dalam DUN Buluh gading ini, hampir dua pertiga kampung terjejas.

“Oleh itu, satu tangki sahaja sememangnya tidak memadai,” ujar beliau lagi.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana ada juga penduduk yang menggunakan pam air boreng dan telaga di rumah masing-masing berkongsi air dengan masyarakat kampung.

“Ini adalah satu tindakan yang terpuji dan patut dicontohi,” tambah beliau lagi.

Terdahulu, gangguan bekalan air tersebut telah menjejaskan 28,700 akaun pengguna di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak semalam ekoran paip pam yang bersaiz 1,200 milimeter itu pecah di dasar Sungai Terengganu.

 


Tag: