• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tarif Air Terengganu Kedua Terendah

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Terengganu merekodkan tarif air kedua terendah berbanding negeri lain dengan kadar 0.42 sen bagi setiap 0 sehingga 20,000 liter penggunaan air untuk  kediaman.

Kadar itu masih kekal  dan tidak disemak sejak 20 tahun lalu walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) membenarkan untuk membuat semakan dalam tempoh tiga tahun sekali.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya dengan arahan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar harga lama walaupun terpaksa menanggung kos operasi yang sangat tinggi pada setiap tahun.

Katanya, antaranya termasuk pembelian bahan kimia, kadar elektrik dan kos penggantian dan penyelenggaraan peralatan dan aset.

“Pengguna sewajarnya bersyukur dan tidak banyak merungut kerana kadar yang dikenakan itu sudah terlalu murah.

“Jika difikirkan secara logik harga sebotol air mineral 1.5 liter boleh  mencecah harga RM3.00 sedangkan air yang perlu dibayar untuk kegunaan harian termasuk memasak, membasuh dan membersih diri hanya 0.42 sen bagi 1,000 liter,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan maklumat Malaysia Water Industry Guide (MWIG) 2018, purata kos merawat dan mengagih setiap 1,000 liter air kepada pengguna domestik adalah RM2.31.

“Namun purata harga yang dibayar pengguna untuk setiap 1,000 liter air bagi 20,000 liter pertama adalah RM0.42 sahaja.

“Baki selebihnya perlu ditanggung oleh SATU dan itu belum lagi mengambil kira perbelanjaan melengkapkan industri dengan teknologi terbaharu, termasuklah menambah baik loji rawatan mahupun menukar paip yang uzur,” katanya.
.

 


Tag: