• 06 Okt 2024 | 03 Rabiul Akhir 1446

Tarmizi Cabar Diri Teroka Tiga Aktiviti Pertanian Serentak

Oleh: Fatimah Din 

MARANG, 13 April - Keberanian usahawan muda ini meneroka tiga aktiviti agro pelancongan serentak harus dipuji dan sewajarnya menjadi ikutan kepada anak muda di luar sana.

Mohd Tarmizi  Mamat, 34, pemilik Mizi Agro Farm Durian Jerung yang menjalankan perniagaan '3 dalam 1' sekali gus di kebun durian miliknya.

"Saya memulakan perniagaan ini secara rasmi semenjak 2019 lagi antaranya menyediakan pakej kepada pengunjung untuk makan durian dalam kebun, nurseri untuk menjual anak benih buah durian, buah-buahan serta tanaman lain dan turut menjalankan perusahaan kayu cengal," ujarnya.

Dia berkata demikian ketika ditemui oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang di bengkel perabot kayu cengalnya, di sini baru-baru ini. 

Menurut Tarmizi, dia sentiasa mendapat sokongan daripada Persatuan Kayu Kayan Malaysia untuk terus memajukan perniagaan yang diusahakan itu dan turut mendapat sokongan padu daripada pelanggan luar negeri.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap apa yang saya usahakan mendapat sambutan yang baik setakat ini, lebih menggembirakan untuk tempahan perabot, kira-kira 80 peratus pelanggan saya adalah dari luar Terengganu," ujarnya.

Tidak mahu berhenti di tengah jalan, anak muda berwawasan tinggi ini tetap ada perancangan untuk terus memajukan perniagaannya. 

 "Insya-Allah, kita mahukan agro pelancongan ke arah yang lengkap, dimana saya akan usahakan konsep berkhemah dalam kebun dengan menyediakan tiga perkara asas iaitu khemah, air dan api," jelasnya. 


Tag: