• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tasik Kenyir Bakal Sesak Dengan Kehadiran Pelancong Luar

HULU TERENGGANU, 16 Oktober - Kawasan pelancongan Tasik Kenyir  dijangka lebih sesak dengan kehadiran pengunjung dari luar bermula minggu hadapan selepas kebenaran rentas negeri.

Ketua Polis negeri, Dato' Rohaimi Md. Isa berkata, semalam Tasik Kenyir merekodkan jumlah pengunjung tertinggi iaitu 15,000 orang dengan jumlah kenderaan 4,500 buah.

Katanya, dengan kehadiran pelancong yang semakin meningkat, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap perlu dititikberatkan dan pihak polis akan melakukan pemantauan secara berterusan bagi membendung penularan Covid-19.

"Kita jangka apabila masuk minggu kedua dan ketiga nanti pengunjung luar dari Terengganu akan datang untuk bercuti di sini termasuk menyewa rumah bot.

"Oleh sebab itu, kita akan beri lebih tumpuan kepada  kawasan ini kerana jeti Tasik Kenyir lebih sesak dari jeti Pulau Perhentian dan Pulau Redang,"ujarnya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan SOP di Tasik Kenyir, di sini hari ini.

Katanya, hanya pengunjung yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dibenarkan masuk dan pemeriksaan secara rawak akan dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.

Tambah beliau lagi, sebanyak enam pasukan melibatkan 12 pegawai dan 35 anggota  ditempatkan di Tasik Kenyir pada hujung minggu bagi memantau aliran trafik serta kesesakan pengunjung selain pemantauan SOP ditetapkan.

Sementara itu, Rohaimi berkata Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) mencatatkan peningkatan trafik melebihi 65 peratus bermula semalam.