• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tasik Kenyir Masih Di Paras Normal, Tapi...

KUALA TERENGGANU, 26 November- Tinjauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu bersama Urus Setia Penerangan Darul Iman ke Tasik Kenyir, hari ini memperlihatkan paras semasa air di tasik berkenaan adalah setinggi 137.44 meter, iaitu berada pada paras normal.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menyatakan, keadaan di lokasi tersebut dan daerah Hulu Terengganu masih dalam keadaan terkawal.

"Namun, jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, sama ada lewat petang ini atau malam ini terdapat kebarangkalian Terengganu akan menerima komposisi hujan yang banyak terutama di Hulu Terengganu.

 "Jadi, pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri (SPBN) di Hulu Terengganu telah bersiap siaga di kawasan-kawasan yang berisiko bajir di sini," katanya.

Jelasnya, walaupun keadaan di daerah-daerah lain dilihat semakin pulih, masyarakat di minta berjaga-jaga.

"MetMalaysia juga memaklumkan, kita dijangka akan menerima empat ke enam episod hujan lebat sepanjang musim dan Terengganu telah menerima dua gelombang hujan lebat yang berakhir semalam. Ada kebarangkalian untuk kita menerima sekitar dua lagi gelombang hujan lebat pada awal Disember nanti.

"Sebelum ini, semua daerah terlibat banjir kecuali Hulu Terengganu. Namun kita tahu, mengikut rekod situasi sebelum ini, apabila Hulu Terengganu banjir, implikasinya akan lebih besar dan terus ke daerah-daerah lain, jadi semua harus berjaga-jaga," katanya.

Pasukan APM sedang melakukan persediaan di Tasik Kenyir.

 


Tag: