• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Taska Bagi Penjawat Awam Dungun Mula Beroperasi

DUNGUN, 16 September – Usaha kerajaan negeri dalam mewujudkan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di tempat kerja bagi penjawat awam terus rancak berjalan apabila sebuah lagi pusat berkenaan berjaya ditubuhkan di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Taska Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun (MPD) merupakan taska di tempat kerja yang ditubuhkan hasil inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja.

Katanya, pembukaan pusat itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam menunaikan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu iaitu membuka pusat asuhan di setiap jabatan kerajaan negeri.

 

"Sebelumnya, pembukaan rasmi Taska Permata Keluarga MPD adalah pada bulan januari tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19. Inisiatif ini dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu serta agensi lain.

"Antara Taska Permata yang telah disiapkan, kini beroperasi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin Kampus Gong Badak (UniSZA) dan di Wisma Darul Iman. 

"Bagi tahun ini, kerajaan merancang untuk membuka taska seterusnya di UniSZA Kampus Tembila diikuti dengan Bangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dalam sekitar bulan ini atau awal Januari 2021, di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu pada awal januari 2021 serta sebuah lagi di Jabatan Kerja Raya Terengganu pada april 2021," ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap Majlis Perasmian Taska Permata Keluarga Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang yang juga Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat serta Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.

Menurutnya, perkara itu pasti akan memberi kelegaan kepada para ibu bapa dan secara tidak langsung menyumbang kelangsungan pentadbiran yang baik kepada negeri.

"Saya yakin dan percaya dengan pendekatan kokurikulum yang menyeluruh dan bersepadu di taska ini, akan menatijahkan hasil terbaik kearah masyarakat negeri maju, berkat dan sejahtera”

"Dengan Doa dan harapan supaya taska sebegini akan melahirkan modal insan berkualiti. Mereka bakal menjadi As-syabab dan Ar-rijal atau pemuda-pemudi hebat yang mampu memenuhi tuntutan kehidupan” tambah beliau

Pengambilan di Taska Permata Keluarga MPD melibatkan 23 orang pelajar dari usia 3 bulan hingga 4 tahun serta 6 orang kakitangan terlatih dan menelan kos kira-kira RM 100,000 daripada peruntukan kerajaan negeri.