• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Bayar Perkongsian Keuntungan RM2.7 Juta Kepada LTAWNT

KUALA TERENGGANU, 7 Disember - Syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad membuat pembayaran perkongsian keuntungan sebanyak RM2.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata Kumpulan TDM mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada bahagian perladangan. membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang menjana keuntungan usaha sama yang lebih besar buat LTAWNT  berbanding RM1.9 juta pada TK2020.

“Pembayaran perkongsian keuntungan usaha sama berterusan oleh Kumpulan TDM mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan sebuah penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan kongsi perniagaan serta pelabur. Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan. 

“TDM komited untuk terus menjana pembayaran perkongsian keuntungan yang lebih besar untuk TK2022 dan tahun-tahun akan datang selari dengan usaha menambah baik kecekapan operasi, dan pada masa yang sama memaksimumkan keuntungan,” ujar beliau ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Cek di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Cek pembahagian keuntungan itu diserahkan Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin kepada Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A Rahman @ Yusof sambil disaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TDM, YBM Tengku Seri Bijaya Raja.

Menurut beliau, Bahagian Perladangan Kumpulan TDM menunjukkan prestasi yang kukuh pada TK2021 hasil harga minyak sawit mentah (CPO) dan juga isirong sawit (PK) yang tinggi. 

Jelasnya lagi, pendapatan segmen meningkat 19.6 peratus kepada RM287.3 juta (TK2020: RM240.3 juta), dan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak hampir dua kali ganda (96.5 peratus) kepada RM176.4 juta berbanding RM89.8 juta tahun sebelumnya.

Justeru itu, Najman berkata TDM yakin dengan keupayaannya untuk merekodkan prestasi yang cemerlang pada suku terakhir TK2022 sekali gus membina momentum positif daripada keputusan operasi yang memberangsangkan pada TK2021.

“Dengan dorongan usaha proaktif cabang perniagaan perladangan dan penjagaan kesihatan, Kumpulan TDM berhasrat untuk memberi nilai tambah yang lebih baik kepada pihak berkepentingan menerusi pertumbuhan mampan di masa hadapan,”katanya.

LTAWNT memiliki 1,336 hektar ladang kelapa sawit terletak di Ladang Air Putih yang kini diuruskan bahagian perladangan TDM Berhad, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) menerusi usaha sama sejak 1996.