• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

TDM Berhad Meterai Perjanjian Pembelian Saham THP-YT Plantation



KUALA TERENGGANU, 3 Mac– TDM Berhad (TDM) menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) dengan TH Plantations Berhad (THP) bagi memperoleh 70 peratus saham THP-YT Plantation Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM7.0 juta.

Pengerusi TDM Berhad, YM Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata pada masa yang sama, pihaknya turut menandatangani Perjanjian Penyelesaian (SA) untuk menyelesaikan pendahuluan antara syarikat sebanyak RM78.6 juta yang terhutang oleh THP-YT kepada THP Suria Mekar Sdn Bhd (THSM), anak syarikat THP yang dimiliki sepenuhnya. 

Katanya, sebahagian daripada pendahuluan RM62.0 juta akan diselesaikan melalui kemudahan bank dan pendahuluan pemegang saham dan baki akan diberikan oleh THSM kepada TDM dengan kadar RM1.00.

"Pengambilalihan yang dicadangkan ini akan meningkatkan jumlah kawasan tanaman TDM di Terengganu dari 31,346 hektar kepada 33,653 hektar.

"Di samping itu, profil usia muda yang mana antara dua hingga sembilan tahun akan menyumbang secara positif untuk meningkatkan profil umur purata keseluruhan TDM. 

"Atas faktor lokasi yang berhampiran antara ladang THP-YT dengan perladangan sedia ada TDM, pengambilalihan itu dijangka dapat mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan pemprosesan FFB, dan selanjutnya menurunkan kos pemprosesan kilang di kilang minyak sawit TDM di Sungai Tong,"ujarnya dalam satu kenyataan bertulis hari ini.

Tambahnya lagi, di bawah Pelan Pembangunan Perniagaan (BDP),Kumpulan sentiasa mencari prospektif lapangan sedia ada dengan matlamat untuk mencapai peningkatan perolehan dalam kedua-dua sektor perladangan dan juga penjagaan kesihatan.

Justeru itu katanya,  pengambilalihan ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan Kumpulan untuk meningkatkan profil umur purata dan mengurangkan turun naik dalam hasil pendapatan. 

"TDM secara strategik meletakkan dirinya untuk terus berdaya saing dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar.

"Walau bagaimanapun, Kumpulan bersifat optimistik terhadap asas-asas mampan jangka panjang industri dan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan mengoptimumkan kos pengeluaran," ujar beliau.


Tag: