• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Berhad Sasar Pendapatan RM620 Juta Tahun 2023

KUALA TERENGGANU, 8 Jun- Anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan TDM Bhd. (TDM Berhad) mensasarkan untuk mengutip pendapatan sehingga RM620 juta untuk tahun 2023

Pengerusi TDM, Datuk Tengku Seri Bijaya berkata pada tahun 2022, TDM mencapai rekod tertinggi dengan hasil pendapatan RM614.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus daripada tahun sebelumnya.

Katanya, beberapa inisiatif dalam bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan dijangka memberi impak positif kepada keuntungan kumpulan dan menyumbang kepada pertumbuhan berterusan bahagian perniagaan.

“Tumpuan kami pada inisiatif teknologi, memanfaatkan kuasa mekanisasi dan pendigitalan akan menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini. 

“Selain itu, kami secara aktif mempertimbangkan peluang untuk mengembangkan perniagaan kami, secara organik dan bukan organik, untuk mencipta nilai jangka panjang buat para pemegang saham kami,” katanya  kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Am Tahunan (AGM) kali ke-58 bertempat di Elysium Skybridge, Level 3, Menara B, KTCC di sini hari ini.

Tambahnya, TDM akan terus komited dalam usaha mengoptimumkan prospek perniagaan jangka panjang serta membina daya tahan bagi memastikan kemampanan segmen perniagaan utamanya.

Menurut beliau, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan utama adalah untuk meningkatkan pendapatan dengan memenuhi permintaan yang semakin meningkat terutamanya dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pelancongan kesihatan.

Katanya, bahagian penjagaan kesihatan akan meningkatkan kapasitinya melalui penambahan katil dan meluaskan lagi perkhidmatan dengan menawarkan rawatan sub-kepakaran baharu. 

“TDM turut merancang untuk mengguna pakai pendekatan 'asset-light' dengan mengembangkan rangkaian hospitalnya melalui pengaturan pajakan dan jualan-pajakan balik. 

“Strategi ini juga akan sekaligus membantu dalam usaha mendapatkan tapak brownfield serta pembangunan kemudahan baharu. Melalui pelaksanaan pendigitalan, Kumpulan komited untuk menambah baik keseluruhan pengalaman pesakit dan mengoptimumkan prestasi operasi,” ujarnya.

Tambah Tengku Seri Bijaya lagi, pihaknya akan terus memanfaatkan rekod kejayaan syarikat dalam perniagaan minyak sawit mampan.

“Bahagian Perladangan secara aktif meneroka peluang untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan kos melalui pelaksanaan teknik mekanisasi terkini,”jelasnya.