• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Ganding Bahu Bantu Golongan Memerlukan

DUNGUN, 7 Disember - Semua pihak termasuk badan-badan korporat seperti TDM Berhad digalak untuk terus berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tanggungjawab menjaga masyarakat dan kebajikan mereka tidak seharusnya dipikul oleh sesebuah organisasi sahaja, ia memerlukan komitmen dan usahasama semua lapisan masyarakat, sektor swasta, ahli akademik, masyarakat mahupun individu. 

“Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat wabak pandemik dan menjadi pemangkin kepada penglibatan orang ramai. 

“Waktu kini adalah tempoh yang mencabar untuk semua orang, tetapi kita perlahan-lahan semakin pulih daripada kesan pandemik dan memacu perubahan ke arah memulihkan ekonomi tempatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Program TDM Prihatin Mesra Komuniti di Dewan Balora, Bandar Al-Muktafi Billah Shah, semalam.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin serta Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim.

Pada majlis itu, TDM turut memberikan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan kepada 60 keluarga terpilih.

Sementara itu, Najman dalam ucapannya berkata, program yang bertemakan 'Mesra Komuniti' tersebut merupakan salah satu program CSR TDM untuk mendekati dan menjalin hubungan rapat bersama masyarakat. 

"Program ini menjadi sebuah platform bagi syarikat untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dan serta terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Pihak kami berbesar hati dapat meneruskan penganjuran program 'TDM Prihatin', dimana kali ini di Kompleks Bukit Besi," ujarnya.

Jelas beliau, program tersebut walaupun tujuan utamanya untuk mendekati masyarakat, ia turut menyaksikan kakitangan Kumpulan TDM bekerjasama untuk membawa perubahan dan senyuman kepada komuniti yang hadir. 

"Kira-kira 55 kakitangan daripada ibu pejabat TDM dan ladang TDMP hadir beramah mesra dan menyertai acara yang diadakan.

"Saya secara peribadi ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan syarikat kerana berusaha  keras untuk memberi impak positif kepada komuniti. 

Saya berbangga melihat ramai warga kerja TDM yang meluangkan masa untuk berada di sini. Walaupun tujuan utama perlaksanaan program adalah untuk membantu kumpulan sasaran, saya dapat melihat ia secara tidak langsung memupuk dan menggalakkan nilai perpaduan, kerjasama, dan tolak ansur dalam kalangan kakitangan syarikat bersama masyarakat," tambahnya lagi.

Katanya, warga kerja TDM bersama peserta yang hadir berpeluang untuk bersuai kenal serta mengeratkan hubungan kebersamaan melalui pelbagai aktiviti yang telah disusun atur seperti “Smart Solat”, taklimat zakat oleh Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Kemaman, dan sukaneka.

"Setiap aktiviti dijalankan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak COVID-19," ujarnya.

Katanya, program 'TDM Prihatin' syarikat, kali ini bersama komuniti daripada Kompleks Bukit Besi, khususnya berhampiran Ladang Gajah Mati, Ladang Majlis Agama Islam, Ladang Pinang Emas dan Ladang Jerangau.