Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Hukuman Sebat Pesalah Khalwat
KUALA TERENGGANU, 9 April - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera melunaskan hajat 58 anak yatim dan asnaf untuk memiliki baju raya baharu pada Aidilfitri tahun ini.
Salah seorang daripada anak yatim, Muhammad Ilham Wafiy, 9, berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih bersama tiga lagi adiknya untuk menerima bantuan Aidilfitri.
Kata Ilham, keprihatinan TDM dan Muafakat Sejahtera memberi keceriaan kepada dia dan adik-adiknya yang baru kehilangan ayah baru-baru ini.
“Alhamdulillah saya terharu diberikan peluang berbelanja, memilih sendiri baju baharu di sini dan juga dapat memilih warna tema untuk keluarga kami sempena raya kali ini.
"Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini merupakan tahun kesedihan bagi kami sekeluarga yang baru kehilangan ayah di bulan puasa ini baru-baru ini, namun demi semangat kepada ibu dan adik-adik kami cuba meriahkan suasana Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui media ketika program itu di Pasar Raya KTCC.
Turut hadir Pengerusi Muafakat Sejahtera yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, Ketua Pengurusan Risiko TDM, Mohd Mardi Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfarizan Hashim.
Sementara itu, Yahaya berkata, anak-anak yatim dan golongan asnaf berusia tujuh hingga 13 tahun terbabit dipilih dari daerah Marang dan Kuala Terengganu.
"Apa yang telah kami lakukan adalah dengan membawa mereka ke Pasar Raya Pacific KTCC untuk membeli keperluan raya seperti pakaian, kemudian kami bawa mereka ke Hotel Paya Bunga untuk majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan duit raya setiap seorang.
"Saya merasa bersyukur dan seronok melihat anak-anak yatim dan golongan asnaf ini memilih dan membeli pakaian raya serta makan di majlis berbuka tadi," ujarnya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa.
Yahaya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TDM Berhad, Paya Bunga Hotel serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), komited untuk sentiasa berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat dan bertepatan dengan bulan Ramadan.
"Dalam kita menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan dan juga meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kita juga mengambil kira golongan kurang bernasib baik yang jarang kali mendapat peluang menyambut bulan mulia ini dengan membeli atau memilih baju raya baharu mereka sendiri.
"Kami berbesar hati dapat melibatkan diri dan berharap agar ia menjadi pengalaman serta memori yang indah dan tidak dapat dilupakan. Program ini merupakan salah satu cara untuk kami berbakti kepada masyarakat," katanya.