• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Plantation Kekal  Diiktiraf Pensijilan ISCC EU

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – TDM Plantation Sdn. Bhd. (“TDMP”), bahagian perladangan TDM Berhad ("TDM" atau "Kumpulan"), sekali lagi menerima Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) untuk tahun kedua berturut-turut.

Pengiktirafan yang diberikan kepada bahagian perladangan TDM Bhd itu berkuatkuasa dari 17 Mac 2022 hingga 16 Mac 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, sebelum ini, TDMP muncul sebagai syarikat perladangan pertama di Terengganu diperakui dengan pensijilan ISCC EU pada tahun 2021 berdasarkan audit yang dijalankan ke atas first Gathering Points (FGP) dan kilang minyak sawit atau Oil Mill (OM) milik syarikat.

Katanya, pensijilan ISCC EU ini adalah begitu penting, terutamanya buat perniagaan kami, kerana ia kini membuka lebih banyak peluang untuk memanfaatkan efluen kilang minyak sawit (POME) dan membolehkan syarikat mengakses pasaran Eropah. 

“Selain daripada pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO), pengiktirafan ini akan menjadi perakuan buat syarikat untuk memenuhi permintaan Minyak Sawit Mampan Diperakui (CSPO) dan Isirung Sawit Mampan Diperakui (CSPK) yang semakin meningkat ekoran sentimen dan kesedaran alam sekitar orang awam dan syarikat perniagaan.

"Bukan itu sahaja, pensijilan ini juga merupakan cerminan kepada dedikasi kami dalam menghijaukan operasi dan amalan syarikat melalui inovasi dan teknologi bagi mengurangkan jejak karbon dan kesannya terhadap persekitaran di samping menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab.

“Kami tidak hanya memberi lebih banyak penekanan kepada usaha meningkatkan produktiviti, tetapi juga untuk menambah baik operasi dengan mengurangkan kesan mahupun impak terhadap alam sekitar, memelihara dan melindunginya untuk tahun-tahun akan datang," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pihaknya akan terus mengurus dengan teliti impak operasi perniagaan terhadap alam sekitar, memberikan sokongan kepada komuniti di kawasan syarikat beroperasi, dan mengekalkan persekitaran kerja yang selamat ke arah visi syarikat untuk meningkatkan kesejahteraan pihak berkepentingan di samping melindungi alam sekitar.

Tambahnya, TDMP juga  bertekad untuk mengurangkan lagi jejak karbon perniagaan dengan selesainya pembinaan dua loji biogas milik syarikat yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.