• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Plantation, MPOGCF Meterai Usaha Pulihara Habitat Liar

KEMAMAN, 20 Disember - TDM Berhad menerusi bahagian perladangan, TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) untuk menambah baik inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, usaha tersebut dilihat tepat bagi menjaga hubungan baik antara manusia dan haiwan liar yang berpindah disebabkan pembangunan sektor sawit di Terengganu.

“Oleh itu, kita perlu memastikan pembangunan seimbang seperti usaha 'Living Together with Elephants' adalah satu inisiatif yang dijalankan bagi menangani isu pencerobohan gajah liar di ladang kelapa sawit syarikat yang berada di Kemaman dan Setiu,” katanya ketika ditemu bual pemberita.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TDMP, Hamdan Ibrahim berkata, pihaknya telah merintis rangkaian pengurusan gajah liar pertama di Terengganu.

Katanya, mereka mengumpulkan pemain industri kelapa sawit tempatan dalam mengatasi isu pencerobohan dan hidup harmoni bersama binatang tersebut.

“Pasukan kami baru-baru ini telah berjaya memasang kolar satelit pada seekor ketua kawanan gajah di Ladang Pelung kami dengan bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri dan Tabung Gajah Terengganu bagi menjejaki pergerakan kawanan terbabit.

“Pihak syarikat juga turut bekerjasama dengan PERHILITAN Terengganu untuk memilih beberapa lokasi di unit operasi syarikat untuk menubuhkan bank makanan gajah dan mengenal pasti spesies tumbuhan yang akan ditanam di sana.

'River of Life' pula adalah merupakan usaha peremajaan sungai bagi menggalakkan perlindungan, pemulihan dan penggunaan lestari sungai-sungai yang terletak di unit operasi syarikat.

Tambahnya lagi, TDMP juga berusaha untuk mentransformasi sungai-sungai tersebut menjadi tempat tarikan perlancongan dan rekreasi dengan penglibatan badan-badan kerajaan dan juga orang ramai.

Di majlis tersebut, TDMP adalah diwakili oleh En. Mohd Salwadi Mazlan, Pengurus Pentadbiran Perladangan TDMP bersama Pengerusi MPOGCF Dato' Mustafa @ Hasan Ali, dan Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad.