KUALA TERENGGANU, 20 April - TDM Berhad (TDM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Saf Wanita Terengganu (SAFWA) menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama 90 anak yatim berumur antara tiga hingga 17 tahun dari Pengkalan Berangan.
Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab berkata majlis tersebut demi memastikan golongan kurang bernasib baik tidak diketepikan mahupun ketinggalan dalam meraikan sambutan Ramadan.
“Dalam kita menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan dan juga meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kita juga mengambil kira golongan kurang bernasib baik yang jarang kali mendapat peluang menyambut bulan mulia ini bersama orang tersayang
"Peluang bertemu, berbicara dan mengenali anak-anak yang hadir adalah sangat berharga dan sememangnya menyemarakkan lagi semangat Ramadan yang dikongsi bersama. Tiada kegembiraan yang lebih besar daripada melihat senyuman di wajah mereka," ujar beliau.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.
Di majlis yang sama, TDM juga turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim Pengkalan Berangan untuk persiapan menyambut perayaan Adilfitri.
Sementara itu, Ustaz Sulaiman berkata program tersebut melahirkan kegembiraan dikalangan anak-anak yatim Pengkalan Berangan menerusi bantuan dan sumbangan yang diberikan.
“Saya senang hati melihat anak-anak yang hadir tersenyum ketika menerima sumbangan duit raya dan menikmati hidangan berbuka puasa. Besarlah harapan saya agar lebih banyak syarikat korporat lain yang akan turut mencontohi usaha murni sebegini,”katanya.