• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

TDM Sedia Rizab 514 Hektar Tanah Untuk Program 'Releaf Nestle' Malaysia

KUALA TERENGGANU, 19 Jun - TDM Plantation Sdn Bhd (TDMP), bahagian perladangan TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) berjaya menanam 2,000 pokok dalam usaha memartabatkan kelestarian bumi di Ladang Jernih, Kemaman.

Ketua Pegawai  Eksekutifnya, Hamdan Ibrahim berkata projek bersama Nestlé Malaysia dengan rizab 514 hektar tanah untuk tanam 350,000 pokok bagi membolehkan matlamat Projek RELeaf Nestlé menuju tiga juta pokok tertanam di seluruh Malaysia pada awal 2025.

Katanya, penglibatan TDM dalam Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan salah satu cara TDM menunjukkan sokongan kepada kempen “Road To 1 Million Trees 2023”, bersempena dengan Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Peringkat Negeri Terengganu.

“Penanaman semula 2,000 pokok ini bukan sahaja akan menyumbang kepada penghutanan semula kawasan ini tetapi juga membantu memerangi perubahan iklim dengan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen. 

“Pokok-pokok ini akan menjadi bukti hidup kepada komitmen kita terhadap kemampanan dan yang lebih penting, akan berfungsi sebagai habitat kepada pelbagai spesis flora dan fauna sekaligus menyokong kepelbagaian biologi di rantau ini. 

“Kerjasama ini akan sekaligus membuka mata lebih ramai pihak untuk turut serta dalam usaha kami menghijaukan bumi demi masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, Program Penanaman Pokok Nestlé Cares Nationwide ini berlangsung secara serentak dengan penglibatan seramai 450 sukarelawan dari TDM Plantation, Nestlé dan Sime Darby Plantation (SDP), di lima lokasi iaitu di Ladang Jernih TDMP di Terengganu, Ladang SDP Carey Island di Selangor, Ladang SDP Gunung Mas di Johor, Ladang SDP Tenom di Sabah dan Hutan Simpan Bukit Bintang di Perlis. 

“Antara pokok-pokok yang ditanam bagi menjayakan Projek RELeaf Nestlé Malaysia ini terdiri daripada spesies asli seperti Sea Apple (Kelat Jambu Laut), Bitter Bean (Petai), Pongam (Mempari) and Sea Poison (Putat), dan lain-lain,”katanya.