• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

TDM Tawar 800 Peluang Pekerjaan Kepada Warga Tempatan

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – TDM Berhad (“TDM” atau “Kumpulan”) menawarkan 800 peluang pekerjaan kepada warga tempatan dalam tempoh pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutifnya, Najman Kamaruddin berkata pihaknya kini giat menjalankan usaha merekrut penduduk tempatan, terutamanya masyarakat di kawasan perniagaan syarikat berada dan beroperasi di kesemua 13 ladang miliknya di Terengganu.

Katanya, langkah itu dalam masa sama dapat mengurangkan kebergantungan syarikat kepada tenaga asing sekali gus dapat meningkatkan kemahiran golongan sasar.

“TDM menerusi bahagian perladangan syarikat, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP), kami kekal komited dalam mendorong dan memberi keutamaan tersebut kepada masyarakat setempat terutamanya apabila penutupan sempadan telah berkuatkuasa, sekaligus telah menghalang pengambilan pekerja asing.

“Usaha ini diperhebatkan sejak pandemik Covid-19 melanda bagi membantu mereka yang terjejas sekali gus mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja berikutan penutupan sempadan Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Najman,TDMP sering menghadapi cabaran dalam menarik minat warga tempatan untuk pekerjaan yang sukar, bahaya, kotor, dan merendahkan (4D).

“Kami sedia maklum tentang kurangnya minat rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda, untuk mengisi peluang pekerjaan yang ada di dalam industri ini. 

“Walaubagaimanapun, sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami kekal komited dalam mendorong dan memberi keutamaan tersebut kepada masyarakat setempat terutamanya apabila penutupan sempadan telah berkuatkuasa,”ujarnya lagi.

Sehingga kini katanya, TDMP telah berjaya merekrut seramai 1,422 pekerja tempatan yang terdiri daripada operator mesin separa mahir, penuai buah kelapa sawit dan pekerja am di 13 ladang syarikat di Terengganu.

 “Dalam tempoh yang mencabar ini, kami bukan sahaja berusaha untuk memberi jaminan pekerjaan kepada kakitangan syarikat dan pekerja kami, tetapi juga untuk terus menawarkan peluang pekerjaan dan memberi pendapatan yang stabil kepada tenaga kerja tempatan. 

“Selain latihan, penginapan dan kesihatan, pihak syarikat turut memberikan pakej gaji yang kompetitif, bayaran insentif, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), cuti tahunan, elaun dan kemudahan pengangkutan untuk anak-anak ke sekolah di samping pelbagai manfaat lain kepada pekerja ladang," ujar Najman.

Tambah beliau lagi, melalui pelan imbuhan baharu dan setelah mencapai produktiviti yang ditetapkan, ada di kalangan penuai buah kelapa sawit berjaya membawa pulang gaji yang lumayan antara RM3,000 hingga RM4,000 walaupun hanya beberapa bulan bekerja.

 “Ini jelas menunjukkan bahawa peluang pekerjaan ditawarkan syarikat boleh memberikan pendapatan yang mampan walaupun ketika musim pandemik, dan kami berharap lebih ramai penduduk tempatan mengambil peluang yang disediakan,”katanya.