• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

KUALA TERENGGANU, 18 Jun – TDM Berhad yang merupakan anak syarikat (GLC) Terengganu terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam operasi kerja dan perancangan masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd, Hamdan Ibrahim berkata prestasi TDM terus meningkat seperti pada tahun kewangan 2022, TDM berjaya mencatatkan hasil tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM 614.4 Juta.

“Bagi meningkatkan lagi prestasi kedua-dua sektor TDM iaitu perladangan dan kesihatan itu beberapa usaha telah dilaksanakan oleh TDM Berhad.

“Sektor Perladangan, TDM dengan kerjasama Concord Biotech Sdn Bhd telah membina 2 loji janakuasa biogas di Kemaman dan Sungai Tong.

“Loji janakuasa itu mampu menghasilkan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 29,784,000 kilowatt per jam setiap tahun.

"Selain itu, TDM bersedia untuk memulakan  program penanaman semulanya dengan menyasarkan 1,977 hektar tanah pada tahun kewangan semasa yang bertujuan untuk menambah baik profil umur pokok,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Siaran Langsung Bicara Jabatan di TV Darul Iman di sini baru-baru ini.

Tambah Hamdan, dalam sektor penjagaan kesihatan pula kumpulan ini telah berjaya mengambil alih Hospital Pakar Tawau dan menjenamakan semula sebagai KMI Tawau Medical Centre.

“Setelah mendapat permintaan yang tinggi, TDM telah mengambil langkah memulakan pembinaan sambungan baharu di KMI Tawau.

"Pembangunan ini akan menambah kapasiti sebanyak 52 katil ke hospital dan dijadualkan siap menjelang 2024," katanya.

Manakala, Pusat Perubatan KMI Kuantan akan meningkatkan kapasitinya dengan perancangan baharu untuk menambah 80 katil lagi.

Beliau berkata, beberapa inisiatif pendigitalan seperti menaik taraf sistem maklumat hospital dan pendigitalan sistem rekod perubatan elektronik (“EMR”) telah dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan operasi dan penglibatan pesakit.

“Projek perintis yang melibatkan iWard, penyelesaian pengurusan wad pintar, telah dijalankan di Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya," ujarnya.

 

 


Tag: