• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tebatan Banjir Tok Jiring Fasa 1 Dijangka Beroperasi Hujung Tahun Ini

KUALA NERUS, 19 Jun - Projek Tebatan Banjir Tok Jiring Fasa 1 bagi mengatasi masalah banjir di sekitar Kuala Nerus kini dalam proses akhir pembinaan dan ia dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata melalui perbincangan dan kerja yang telah dilaksanakan, projek ini telah siap 99.6 peratus.

Katanya, ada sedikit sahaja lagi kerja teknikal berkait dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Dengan siapnya projek ini insya-Allah akan menyelamatkan kita daripada banjir yang berlaku di sekitar Kuala Nerus terutamanya sekitar Bandar Baru Kuala Nerus,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa mengadakan Lawatan Kerja Projek Rancangan Tebatan Banjir Tok Jiring, Kuala Nerus di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.

Tambah Dr Mamad lagi, terdapat satu lagi projek iaitu Tebatan Banjir Tok Jiring Fasa 2 di bawah kerajaan persekutuan dengan anggaran kos lebih  RM350 Juta.

“Sekiranya projek tebatan banjir fasa 1 dan 2 ini siap secara keseluruhannya, kita mengharapkan agar masalah banjir di Kuala Nerus dapat diselesaikan kerana penduduk di sini agak ramai termasuk kawasan pembangunan yang banyak.

“Kita juga telah memohon beberapa tebatan banjir seperti di Kemasik, Kemaman, projek Tok Jiring fasa 2, Air Lilih dan Puteri di Besut, dan semua projek ini insya-Allah akan dilaksanakan dalam masa terdekat” katanya.