• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tekanan Air Rendah Di Kota Putera Dijangka Selesai Ogos

BESUT, 24 April - Masalah tekanan air rendah di Dun Kota Putera yang melibatkan Tangki Khidmat Bukit Keluang dijangka stabil Ogos tahun ini.

Bercakap kepada hadirin dalam satu program di Kota Putera Square hari ini, Pengurus SATU Besut Kamaluddin Yahya berkata, tekanan air rendah berlaku disebabkan permintaan air meningkat terutama pada bulan Ramadan dan dijangka berterusan sehingga Syawal ini.

"Untuk jangka pendek, penyelesaian pihak SATU adalah menyediakan tangki statik dan catuan air berjadual di kawasan gangguan. 

"Manakala untuk jangka panjang pulak, Loji Rawatan Air LRA Bukit Bunga Lama sedang dibaikpulih dan diaktifkan, juga pam penggalak (booster pump) bandar Jertih sedang dalam proses menunggu terimaan pam baru bagi membantu meningkatkan paras air di Tangki Khidmat Bukit Keluang," ujar beliau.

Sementara itu, ADUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman pula berkata, program aduan, taklimat dan penjelasan dibuat bagi memberi peluang kepada rakyat berinteraksi terus dengan pihak SATU dalam mengadu atau menghuraikan permasalahan isu air semasa.

Katanya, penduduk yang terlibat diminta berhubung dengan JPKK setempat bagi yang memerlukan tangki statik dan bekalan air berjadual, serta disarankan untuk menyediakan bekas air di depan rumah jika perlu untuk pihak SATU mengisi air mengikut jadual.

Antara kampung yang terlibat adalah Kg Keluang, Kg Limbongan, Taman Koperat Putera, Taman Mawardah, taman-taman perumahan sekitar Persiaran Limbongan, Tanjong Demong, Kg Pengkalan Nyireh, Pekan Pengkalan Nyireh, Kg Air Tawar, Seberang Kastam, RAKR Limbongan serta sekitarnya.


Tag: