• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Teluk Mak Nik Tempat Pendaratan Penyu Popular Terengganu

Ariffin (tengah) diberi taklimat mengenai penetasan penyu di Teluk Mak Nik Geliga, Kemaman.
KEMAMAN, 28 Ogos - Kampung Geliga dikenal pasti sebagai kawasan pendaratan tertinggi penyu berbanding di tempat lain di seluruh negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, di Geliga, banyak penyu mendarat di Pantai Teluk Mak Nik sekali gus dibina tempat penetasan telur penyu untuk memastikan kesinambungan pendaratan penyu berlaku di pantai berkenaan.

"Ini kerana menjadi tabiat penyu, akan kembali mendarat untuk bertelur di tempat di mana ia dilepaskan (dilahirkan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena sesi lawatan kerja beliau ke daerah Kemaman di pekarangan Masjid Lama Kampung Tuan Dalam, di sini semalam.

Katanya, sebanyak kira-kira 1,800 biji telur penyu setahun dipungut di pantai berkenaan.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, terdapat sebanyak 46 kawasan pendaratan penyu di seluruh negeri Terengganu.

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 12 kawasan rezab penetasan penyu dikendalikan oleh Jabatan Perikanan Negeri (di bawah kerajaan negeri).

Kawasan penetasan penyu itu adalah di Kampung Geliga, Kemaman, di  Dungun (Kerteh, Kampung Cakar Hutan, Kampung Tangga Batu, Kampung Kudung Paka, Kampung Rantau Abang 1 dan  Kampung Rantau abang 2).

Di Setiu (Kampung Kuala Baharu Selatan, Kampung Mak Kepit Pulau Redang, Kampung Mak Simpan Pulau  Redang, Kampung Chagar Hutan, Pulau Redang) dan di Besut (Kampung Tiga Ruang Pulau Perhentian).

Tag: