• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Tempahan Hotel Di Terengganu Meningkat 80 Peratus

KUALA TERENGGANU, 2 November -  Penginapan di hotel di Terengganu menunjukkan peningkatan hingga 80 peratus, sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan pada 11 Oktober lepas.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, peningkatan itu berlaku selepas pengumuman kerajaan berhubung kebenaran merentas negeri dan ia satu petanda baik  bahawa industri pelancongan makin pulih.

"Pada hari biasa, tempahan bilik di kebanyakan hotel di negeri ini mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini terutama cuti perayaan.

“Dengan perkembangan positif ini, diharap ia berupaya memulihkan industri hotel yang terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 melanda dunia termasuk Malaysia tahun lalu,”katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran EV Charging Stesen di Hotel Primula di sini hari ini.

Tambah Suaibah, industri pelancongan dan hotel masih memerlukan pasaran antarabangsa untuk proses pemulihan yang lebih lancar.

"Industri ini masih memerlukan pasaran antarabangsa kerana kemampuan berbelanja domestik sangat rendah terutam resort di pulau-pulau, jadi kami berharap pintu sempadan negara dapat dibuka dengan kadar segera untuk ketibaan pelancong antarabangsa," katanya.

Dalam masa sama, katanya, industri akan memberi komitmen yang tinggi dalam pematuhan dan pemantauan SOP serta berharap pelancong akan bekerjasama dengan pengusaha pelancongan.

“Ini menjadi tanggungjawab semua dan bukan bergantung kepada pihak berkuasa sahaja,” ujar beliau.