Tengku Muhammad Ismail 'Labuh' Tirai Kejohanan Kuda Lasak

SETIU, 6 Julai - DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah sempena hari terakhir Kejohanan Kuda Lasak Yang di-Pertuan Muda Terengganu 2025, hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Terengganu International Endurance Park(TIEP) itu mempertandingkan dua kategori pemula iaitu Contor Endurance National (CEN) sejauh 40KM dan 80KM serta dua kategori bertaraf mak iaitu Contor Endurance International (CEI) bertaraf satu bintang (CEI2*100KM CIM) dan CEIYJ (Young Junior) 100KM serta taraf dua bintang (CEI2*120KM CIM).

Selain atlet kuda lasak tempatan, perlumbaan selama empat hari itu turut disertai jaguh kuda lasak dari Thailand dan Singapura.

Bagi kategori utama CEI 120KM, Mohd Norsyafriman Azlan dari Royal Kelantan Endurance (RKE) muncul juara dengan catatan masa 6:40:50.

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000, pakej pembakaan kuda Arab bernilai RM3,000 dan pakej kelas bersama Jurulatih Johari yang bernilai RM450 selain pingat dan piala.

Sementara itu, bagi kategori 'junior', atlet dari Singapura, Ilham Nada Muhammad Herman dinobatkan sebagai juara dengan catatan masa 9:19:20.

Beliau menerima hadiah piala, wang tunai RM1,400 dan pakej kelas bersama jurulatih Johari.

Dalam majlis tersebut, DYTM Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berkenan menyampaikan hadiah kepada kesemua pemenang setiap kategori.

Tengku Muhammad Ismail berangkat pulang dari majlis pada jam 10.00 pagi.

 

 

 


Tag: