• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Tengku Muhammad Ismail Zahir Harapan Kemerdekaan, Perangi COVID-19

KUALA TERENGGANU, 2 September - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan harapan kepada seluruh rakyat agar terus mengekalkan keharmonian di antara kaum dan menghayati sepenuhnya prinsip rukun negara.

Baginda bertitah, kelima-lima prinsip tersebut akan memastikan negara menjadi maju, aman, makmur dan sejahtera jika diamal dan dihayati dalam kehidupan seharian.

“Saya menyeru agar semua menyingkap semula sejarah pejuang-pejuang kemerdekaan agar kita semua sedar dan berpijak di bumi nyata dalam usaha membangunkan negara tercinta,” titah Baginda dalam program 'Harapan Diraja Pewaris Negara Merdeka', kelmarin.

Sementara itu, Tengku Muhammad Ismail turut menyarankan masyarakat agar bersatu padu dalam menangani pandemik COVID-19 serta menzahirkan kesungguhan dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kita sedia maklum bahawa Malaysia sedang mendepani pandemik virus, sesungguhnya ia merupakan ujian daripada Allah SWT.

“Sehubungan itu, setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua frontliners dan rakyat dalam negara yang telah bekerjasama membendung pandemik COVID-19 ini,” titah baginda.

Acara berkenaan disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selama 40 minit melalui saluran Suara Sunnah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta di saluran YouTube Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Perlis.

Titah diraja itu dimulakan dengan Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang menzahirkan harapan supaya masyarakat Malaysia menekankan kepentingan lima prinsip Rukun Negara demi satu perpaduan.

Tiga putera lain ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (Perlis); Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Shah Alhaj (Selangor) dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra (Kelantan).

Semua putera berkenaan bersepakat, pandemik COVID-19 memerlukan seluruh lapisan masyarakat berpegang teguh, berganding bahu dan meneguhkan semangat kekitaan.