Tentera Darat Hantar Jentera Berat Bantu Mangsa Banjir

KUALA TERENGGANU, 22 Disember - Tentera Darat bermula semalam telah menghantar empat trak tujuh tan ke negeri ini sebagai bantuan tambahan atur gerak bagi membantu mangsa banjir.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, trak berkenaan digunakan bagi operasi penghantaran bekalan makanan dan membantu pemindahan mangsa banjir di kawasan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Katanya, pihaknya serta Tentera Darat secara amnya akan sentiasa memantau situasi banjir yang melanda ketika ini dan bekerjasama dengan semua agensi.

"Atur gerak semasa Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat di Terengganu membabitkan kekuatan seramai 21 pegawai dan 388 anggota, selain 14 trak pelbagai, enam bot tempur dan enjin serta pelbagai peralatan tambahan perairan dan alat perhubungan komunikasi," ujarnya dalam satu kenyataan. semalam.

Mengulan lanjut katanya, Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat selaku formasi bertanggungjawab di seluruh semenanjung sudah bersiap sedia dari awal demi menjaga keamanan dan keselamatan negara serta membantu dalam apa-apa situasi apabila diperlukan.