• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Tepoh Lancar Kelab Basikal TCCT & Kembara Merdeka


KUALA NERUS, 1 September - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melancarkan sebuah kelab berbasikal Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) di perkarangan Dewan Serbaguna Tepoh semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kelab basikal itu meletakkan paksi ‘cakna’ dengan menganjurkan program berkebajikan melalui aktiviti berbasikal.

"Terasnya kebajikan dan keprihatinan selain gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan basikal. Kami berhasrat dapat menelusuri jalan-jalan di pendalaman untuk mendekati warga yang memerlukan secara lebih dekat. Itulah hasratnya," jelas beliau ketika dihubungi media selepas pelancaran kelab itu semalam.

Dalam program terbabit, satu program Kembara Merdeka TCCT sejauah 21 kilometer telah dianjurkan pada hari yang sama dengan melibatkan 250 peserta.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT),  Ibni Amin Busu diberikan penghormatan untuk menyempurnakan acara pelepasan Kembara Merdeka TCCT.

Turut hadir bagi memeriahkan lagi program Konvoi Kembara Merdeka dan pelancaran kelab, Syed Ahmad Saifuddin Syed Muhammad, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, pelumba basikal termuka TSG, Mohd Hariff Salleh, Nur Amirul Fakhruddin dan beberapa lagi pelumba lain.

Hishamuddin yang juga Penaung Kelab TCCT juga memaklumkan,  penubuhan kelab turut memberi peluang kepada belia untuk mengasah bakat dalam sukan berbasikal.

“Penubuhan kelab ini bagi memberi ruang kepada anak muda meningkatkan nilai tambah untuk diri masing-masing selain hanya tertumpu aktiviti kayuhan semata-mata. Kelab ini akan membimbing penganjuran ‘fun ride’ secara profesional, kepelbagaian aktiviti berbasikal dan membina jaringan hubungan dengan pelbagai pihak,” tambah beliau.

 


Tag: