• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Tepuh Berbasikal Salurkan Sumbangan

KUALA NERUS, 1 April - Unik, cepat dan mesra, itulah pendekatan yang telah diambil oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh melalui Kelab Tepoh Cakna Cycling Team (TCCT) untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk dengan berbasikal.

Aktiviti kayuhan basikal sambil berkebajikan itu antara satu rutin ziarah yang telah direncana dan dilaksanakan oleh DUN Tepoh dalam misinya mendekati masyarakat dan menyalurkan bantuan terus kepada golongan-golongan yang memerlukan. 

Dalam satu program yang berlangsung pada 30 Mac lalu, TCCT telah mengunjungi Kampung Jeram Hilir, dalam siri jelajahnya untuk menyantuni dan menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim telah bersama-sama dalam kayuhan tersebut dan turut berkesempatan melawat 20 buah keluarga di sekitar Kampung Jeram Hilir. Beliau menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur sempena menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi.  

“TCCT akan terus melaksanakan aktiviti kebajikan secara berbasikal ini dari semasa ke semasa dan akan singgah di lokasi-lokasi lain di masa akan datang," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jeram Hilir dan Pengerusi Masjid Kampung Jeram Hilir atas kerjasama erat yang telah diberikan semasa siri jelajah tersebut berlangsung.

Kelab TCCT ini secara rasminya telah dilancarkan pada bulan September 2020 dan telah menjadi sebahagian daripada program di bawah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh. Kelab itu ditubuhkan dengan misi berkebajikan secara berbasikal dalam mukim Tepoh.


Tag: