• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

“Terap Semangat Kerjasama Hadapi Musibah” – ADUN Batu Buruk

KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Komuniti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah mengadakan program gotong-royong untuk membaik pulih rumah mangsa yang dilanda bencana ribut pada 6 Julai lalu.

“Alhamdulillah, nilai dan semangat kerjasama ini sangat penting untuk kita terapkan dalam menghadapi situasi musibah seperti ini. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk setempat yang turut sama berganding bahu menghulurkan bantuan,” kata ADUN Batu Buruk, 
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut sama menyertai program gotong-royong tersebut. 

Muhammad Khalil memasang atap rumah mangsa.

Menurut Ustaz Muhammad Khalil lagi, sebanyak 392 aduan kerosakan rumah dalam DUN Batu Buruk telah dilaporkan akibat bencana ribut berkenaan dan kerja-kerja membaik pulih rumah telah dijalankan.

Sementara itu, Pemuda PAS DUN Batu Buruk juga telah mengadakan gotong-royong untuk membaik pulih rumah di beberapa kawasan dalam DUN Batu Buruk.

“Alhamdulillah, hari ini kami telah membaik pulih sebanyak lima buah rumah yang telah rosak akibat bencana ribut yang melanda baru-baru ini,” kata Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Buruk, Ustaz Ahmad Firdaus Mohd ketika ditemu bual pemberita.

“Gotong-royong ini kami mulakan pada pukul 3 petang di Jalan Kenanga sebanyak dua buah rumah dan seterusnya di Kg. Gong Tok Nasek sebanyak tiga buah rumah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada penduduk di sini kerana sudi menerima kehadiran kami untuk mengadakan gotong-royong membaik pulih atap rumah mereka,” katanya lagi.