• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Agih Tablet Percuma Untuk Pelajar

KUALA TERENGGGANU, 30 Mac - Sebanyak 1,600 tablet sedang diagihkan secara berperingkat kepada pelajar terpilih bagi membantu melancarkan proses pembelajaran mereka sama ada di rumah mahupun di sekolah.

Agihan secara percuma itu antara peruntukan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 berjumlah RM19 juta untuk tujuh insentif.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi negeri, Saiful Bahari Mamat berkata, sebanyak 15 tablet telah diagihkan pada hari ini sebagai tanda simbolik.

Katanya, manakala proses agihan baki tablet akan diselaraskan oleh Terengganu Inc dan Pejabat  Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing secepat mungkin.

“Saya suka mengingatkan kepada pelajar, jangan salah gunakan apa yang diagihkan, termasuk  untuk permainan video alam maya dan  leka melayari  laman sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurutnya, inisiatif itu diambil selepas kerajaan memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR) yang mewajibkan ibu bapa menyediakan perkakasan komputer, pencetak dan juga perkhidmatan internet di rumah.

“Menyelami kesusahan dan beban yang ditanggung oleh rakyat inilah menyebabkan kerajaan negeri mencetus idea memberi bantuan tablet.

“Pemberian tablet ini dilihat sebagai langkah yang tepat dalam usaha menyediakan medium pembelajaran kepada murid sekolah,” katanya.

Jelas Saiful, ini kerana tablet hadir dengan saiz yang kompak serta mudah dibawa.

"Ia lebih ringan dan mudah dikendalikan berbanding laptop dan merupakan peranti yang kompetitif untuk memenuhi keperluannya.

“Matlamat agihan tablet ini adalah untuk memberi kemudahan kepada murid sekolah mengakses pelbagai sumber rujukan bagi tujuan pembelajaran dan diharap tidak lagi ketinggalan dalam menimba ilmu.

“Kerajaan negeri juga berharap dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan termasuklah dengan kemudahan tablet ini, akan dapat melahirkan  murid yang lebih cemerlang dan berdaya saing,” katanya.

 


Tag: