• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Akan Siasat Dakwaan Penjualan Tanah Kerajaan

KUALA TERENGGANU, 30 Mac - Kerajaan Terengganu akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyerahan tanah milik kerajaan kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, isu penjualan tanah milik kerajaan adalah isu besar dan pihaknya juga ingin mengetahui secara terperinci berhubung perkara tersebut.

“Rekod itu boleh periksa tanah daripada mana diambil, dibeli dan sebagainya kerana semua tu ada dalam rekod, tetapi kita belum ‘go thru’ lagi.

“Saya juga difahamkan, perkara ini telah dilaporkan kepada pihak polis, jadi biar pihak polis menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Tahun Semarak Dakwah Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Jelasnya, menjadi kewajaran untuk kerajaan negeri mengambil berat mengenai perkara itu.

“Tentulah, kita pun hendak tahu juga keadaan sebenarnya bagaimana, sebab jarang kerajaan jual tanah ini, kalau individu jual tanah itu memang berlaku,” katanya.

Terdahulu, seorang individu dalam hantaran di laman Facebook, baru-baru ini mendakwa bekas Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said menggadai tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada Tan Sri Vincent.

Susulan itu, Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal tampil menafikan perkara berkenaan.


Tag: