• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Terengganu Akan Tambah Taman Negeri


Dr Ahmad Samsuri (kanan) ditemu bual wartawan selepas merasmikan Karnival Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Kampung Cina kelmarin.
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Kerajaan negeri akan mengenal pasti kawasan hutan yang sesuai untuk diisytiharkan sebagai Taman Negeri dengan objektif mempertahankan Terengganu sebagai penyumbang keperluan oksigen penting di Malaysia.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Taman Negeri Kenyir antara yang menepati objektif berkenaan dan kerajaan akan memperluaskan keperluan itu ke daerah lain termasuk Setiu dan sebagainya.

"Kita (kerajaan) bergerak selari dengan kempen di peringkat antarabangsa. Kita tidak mahu terkebelakang dalam soal ini," jelas beliau ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Sambutan Tahun Baru Cina 2019 di Pentas Sementara Kampung Cina, di sini, kelmarin.

Dr Samsuri berkata, aset yang ada di Terengganu termasuk hutan, sungai dan sebagainya adalah anugerah tuhan dimanfaatkan untuk semua orang.

"Sebab itu kalau warga media rakyat negeri Terengganu dan Malaysia pergi ke sungai-sungai di Negeri Terengganu dan cuba bandingkan dengan negeri-negeri lain, saya rasa suasana lebih baik keadaan alam sekitar itu berbanding negeri-negeri berkenaan.

"(Kebaikan) ini yang akan kita pertahankan sekali gus kita akan menambah kawasan berkenaan untuk menyumbang lebih lagi (untuk negeri dan negara)," ujarnya.

Di samping itu, katanya kerajaan negeri akan mengawal pembangunan di sekitar kawasan berkenaan agar tidak menjejaskan taman negeri tersebut.

Sebelum itu, kerajaan negeri telah memperluaskan Taman Negeri Kenyir sehingga 30,000 hektar sekali gus Terengganu menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewartakan Rangkaian Utama 7 sebagai kawasan perlindungan.

Menteri Besar berkata, penambahan kawasan hutan kepada Taman Negeri Kenyir ini meliputi sebahagian kawasan Hutan Simpan Tembat di mana terletaknya Rangkaian Utama 7 (Primary Linkage 7 – PL7) daripada Central Forest Spine (CFS).

"Rangkaian Utama 7 (PL7) ialah nama rasmi bagi Koridor Hidupan Liar Kenyir (Kenyir Wildlife Corridor). Terdapat sebanyak 17 Rangkaian Utama sepanjang CFS di Semenanjung Malaysia. PL7 menjadi sambungan untuk landskap hutan bersebelahan Taman Negara," jelasnya.



Tag: