• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Bakal Jadi Perintis Restoran Harga Patut

HULU TERENGGANU, 2 September – Terengganu bakal menjadi perintis dalam mewujudkan restoran dan kedai makan dengan harga berpatutan atau kawalan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato’ Rosol Wahid berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi membolehkan usaha ini dapat direalisasikan sepenuhnya.

Katanya, antara inisiatif ditawarkan kepada pengusaha restoran dan kedai makan yang berminat untuk menyertai program harga patut adalah pengurangan harga sewaan premis milik PBT.

"Oleh itu, kita pilih Terengganu sebagai projek perintis sebelum diperluaskan di seluruh negara.

"Satu perbincangan dengan PBT bagi membolehkan mereka mengurangkan harga sewaan premis kepada pengusaha dan kedai makan yang akan menyertai program itu," katanya kepada pemberita, semalam.

Rosol berkata, jika PBT dapat mengurangkan harga sewaan premisnya, program restoran dan kedai makan harga patut akan mendapat sambutan pengusaha.

Tambahnya, pengusaha restoran dan kedai makan yang ingin menyertai program itu perlu mematuhi harga makanan dan minuman ditetapkan KPDNHEP.

"Sebagai contoh, pengusaha restoran dan kedai makan menyediakan pakej untuk makan pagi sekeping roti canai kosong atau telur bersama tea o dengan harga RM1.

"Restoran dan kedai makan harga patut yang akan diwujudkan mampu mengurangkan bebanan masyarakat," katanya.