• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Bakal Jadi Pusat ACCA Timur Pertama Di Malaysia

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kerajaan negeri telah memilih Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rakan strategik untuk memastikan program Skim Biasiswa bagi Association Of Chartered Certified Accountants (ACCA) dapat dilaksanakan sekali gus menjadikan Terengganu sebagai Pusat ACCA Wilayah Timur pertama di negara ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sejak dilaksanakan bermula tahun 2019, seramai 35 pelajar telah mengikuti program berkenaan di bawah skim penajaan Yayasan Terengganu.

"Usaha ini adalah untuk memastikan lebih ramai anak Terengganu menadapatkan pengiktirafan daripada badan profesional khususnya dalam bidang perakaunan, maka dengan sebab ini, kerajaan telah memperkenalkan program ini,

"Justeru bagi pihak kerajaan saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian UiTM serta pihak ACCA membantu merealisasikan agenda membangun modal insan cemerlang Terengganu. Maka  pada hari ini, kita dapat menyaksikan satu bentuk kerjasama antara Yayasan Terengganu, UiTM dan ACCA dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Antara Yayasan Terengganu, Universiti Teknologi Mara (UiTM), ACCA dan Universiti Islam Antrabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), di Wisma Darul Iman (WDI), pada hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham serta wakil kedua-dua universiti terbabit.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata satu usaha awal telah dilakukan bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Pusat ACCA Wilayah Timur dengan melaksanakan program Foundation in Accountancy (FIA) ACCA di UITM Dungun.

"Program ini telah bermula tahun lepas, dengan menawarkan skim biasiswa ini kepada 15 orang pelajar lepasan SPM yang telah dipilih," ujarnya.

Untuk rekod, antara bidang kerjasama yang akan dijalinkan dua pihak berkenaan akan memberikan penajaan Skim Biasiswa Pelajar Cemerlang (SPC) kepada pelajar cemerlang lepasan SPM yang layak ke program Foundating in Accounting (FIA) dan Association Of Charetered Certified Accountants (ACCA) di UiTM.

Kedua-dua pihak akan turut bekerjasama menjalankan promosi dan pencarian pelajar lepasan SPM yang layak bagi mengikuti program FIA di UiTM  serta YT, UITM dan ACCA akan turut bekerjasama dalam usaha mewujudkan Pusat Pengajian ACCA Wilayah Timur (East Coast ACCA Center) di UiTM Terengganu, Kampus Dungun.

Dalam pada itu ,ACCA akan membantu mencari peluang dan penempatan pekerjaan bagi pelajar-pelajar tajaan Yayasan Terengganu ini yang telah tamat pengajian.

 


Tag: