• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Bantu, Hargai Keringat Pemandu Teksi

BESUT, 12 September - Kerajaan negeri mengambil inisiatif memberi ganjaran RM11,000 kepada pemandu teksi di daerah ini sebagai menghargai jasa golongan terbabit dalam industri pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, majlis dialog bersama para pemandu teksi juga diadakan bagi memberi laluan kepada barisan hadapan sektor pelancongan itu untuk mengutarakan aduan.

"Majlis dialog ini bertujuan untuk mengumpul dan menjawab isu-isu pemandu teksi daerah Besut, sebarang cadangan lain turut akan diambil kira dan diutarakan kepada kerajaan negeri.

"Program ini turut disertakan dengan sumbangan kepada pemandu-pemandu teksi sebagai tanda cakna kerajaan terhadap ‘frontliner’ sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Ramah Mesra Dan Dialog Bersama Pemandu Teksi Daerah Besut di Dewan Terbuka Kuala Besut, Kampung Kuala Besut di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh, Pegawai Penyelaras DUN Kuala besut, Azbi Salleh, Penghulu-penghulu mukim daerah Besut dan ahli-ahli persatuan pemandu teksi daerah Besut.

Mengulas tentang aduan yang diterima seperti ‘Grab Haram’ atau pihak yang mengambil peluang menjadi pemandu grab tanpa lesen, isu ulat teksi, cadangan penambahbaikan kenderaan dan penjenamaan imej teksi seperti dibuat kepada beca di Pasar Payang, beliau berkata perkara akan diberi perhatian.

"Saya akan membawa isu-isu yang diutarakan kepada pihak kerajaan negeri serta pengerusi-pengerusi jawatankuasa yang berkenaan," ujarnya.

Ariffin turut mencadangkan saluran lain yang boleh digunapakai oleh wakil persatuan pemandu teksi di setiap kawasan ialah berjumpa dengan pegawai kerajaan di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk penyelaras dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sendiri.


Tag: