• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Terengganu Bebas Koronavirus

Foto oleh - Safwan Syakir
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Kerajaan negeri mengesahkan Terengganu bebas daripada sebarang kes 2019 Novel Koronavirus (2019-nCOV).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, walaupun tiada kes dilaporkan di negeri itu, rakyat diminta terus mendapatkan rawatan jika ada tanda dijangkiti bakteria koronavirus.

Katanya, virus itu sangat merbahaya, mudah berjangkit dalam tempoh singkat antara manusia hanya melalui udara, selain  sentuhan, batuk dan selesema.

“Sesiapa yang mengalami sakit tekak dan kerongkong, menghadapi kesukaran untuk menelan makanan, lesu, pucat dan mengalami degupan jantung yang pantas, diminta segera mendapatkan rawatan.

“Melihat keadaan itu semakin serius, kerajaan negeri sudah mengarahkan Jabatan Kesihatan, hospital dan semua klinik kesihatan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penularan koronavirus di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dr Alias turut memberitahu, kerajaan perlu mempertimbangkan sekatan sementara terhadap kemasukan pelancong dari China, selain melakukan saringan kesihatan dengan lebih ketat.

Katanya, penularan wabak itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat kerana pelancong dari China dikecualikan daripada visa oleh kerajaan Malaysia.

"Sudah ada beberapa kes wabak koronavirus yang melibatkan pelancong asing dari China dan masalah ini akan bertambah buruk jika kerajaan tidak bertindak tegas dengan segera,” katanya.


Tag: