• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Belanja RM3.95 Bilion Pembangunan Rakyat, Pulih Projek 'Sakit'

KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Sebanyak RM3.95 bilion telah dibelanjakan dan diluluskan untuk pembangunan di Terengganu sejak tahun 2018, sekaligus menepis dakwaan bahawa tiada pembangunan yang dilaksanakan sepanjang Parti PAS mentadbir negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak menegaskan, sepanjang lima tahun pentadbiran pelbagai pembangunan telah dilaksanakan.

"Pertama kena faham, pembangunan itu tak semestinya 'mega structure' (bangunan besar). Apa pun saiz pembangunan yang dibuat, yang penting ialah berorientasikan rakyat dan untuk memenuhi keperluan penduduk.

"Untuk makluman, daripada 15,681 projek dirancang sepanjang empat tahun pentadbiran, sebanyak 14,934 projek disiapkan bersamaan 95.2 peratus pelaksanaan. 

"Secara khususnya pada tahun 2018, sebanyak 4,266 projek dirancang dan berjaya menyiapkan 4,094 projek. Tahun 2019 (rancang 5,094 projek, siap 4,858 projek). Manakala, pada 2020 (rancang 4,426 projek, siap 4,294 projek) dan 2021 (rancang 1,895 projek, siap 1,688 projek)," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Tambah Dr. Alias, sebanyak 15 projek pembinaan rumah mampu milik (RMM), 3,165 unit RMM telah siap dibina dan diagihkan. Manakala, 12,660 unit rumah lagi sedang dalam pembinaan.

Selain itu menurutnya, banyak projek infrastruktur melibatkan pengairan dan saliran telah digerakkan oleh kerajaan negeri dengan bantuan persekutuan antaranya pembinaan jambatan, tebatan banjir, kawalan hakisan pantai dan pemuliharaan muara.

"Kerajaan Negeri juga terpaksa berbelanja untuk memulihkan beberapa projek tinggalan kerajaan terdahulu antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Hotel Paya Bunga, jambatan dan hotel di Pulau Poh serta penstrukturan semula beberapa anak-anak syarikat negeri (GLC). 

"Pembangunan yang tidak semestinya mencakar langit, tapi pembangunan yang menjejak bumi," katanya.

 

 

 


Tag: