• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Belum Beralih Ke Fasa Tiga Bukan Kerana Vaksin

KUALA TERENGGANU, 6 September - Terengganu masih belum beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) bukan kerana peratusan vaksin rendah, ujar Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Menurut Dr. Alias Razak, negeri ini masih kekal di fasa dua disebabkan penggunaan katil di wad kecemasan (ICU) masih tidak mencapai kadar yang ditetapkan sebagaimana dikehendaki Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kalau penggunaan katil kurang daripada 50 peratus baru kita boleh memasuki fasa seterusnya, syaratnya kita tetap perlu mematuhi SOP bagi menghentikan penularan wabak ini.

"Rakyat perlu tahu dan sentiasa ingat bahawa dua vaksin lengkap bertindak bagi mengurangkan risiko penyakit yang serius, namun jangkitan akan tetap boleh berlaku. Justeru pematuhan terhadap SOP oleh individu yang lengkap divaksinasi perlu diteruskan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Besut 2035 (Penggantian) secara atas talian, pada hari ini.

Menjawab pertanyaan pihak media dalam beberapa isu berkait kebimbangan rakyat terhadap pesakit yang lari dari Pusat Kuarantin Covid-19 Risiko Rendah (PKRC), Dr Alias berkata ia merupakan kes terpencil di Terengganu dan masih terkawal.

Manakala berkait pekerja Hotel Primula selepas anak syarikat kerajaan negeri itu ditutup selama 14 hari susulan terdapat penularan Covid-19, katanya kes itu tidak perlu dibimbangi kerana kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan mereka.

"Insya-Allah kebajikan tiada masalah, jangan bimbang. Walaupun ditutup pekerja akan tetap menerima bayaran gaji.

"Kita akur dengan arahan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tidak membenarkan premis berjalan seperti biasa, dan insya-Allah apabila telah selamat ia akan dibuka kembali seperti sediakala," katanya.


Tag: