• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Benar Aktiviti Qiamullail, Tadarus Di Masjid

KUALA TERENGGANU, 13 April - Terengganu membenarkan aktiviti qiamullail dan tadarus al-Quran diadakan di masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan ini.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad berkata, ia selaras dengan ketetapan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berkaitan pelaksanaan aktiviti ibadat di masjid dan surau dalam negeri ini.

"Kebenaran ini terpakai dan berkuat kuasa pada 12 April 2021 mulai Solat Sunat Tarawih sehingga satu ketetapan baharu yang akan dikeluarkan oleh jabatan ini secara rasmi dari masa ke masa," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurut Mat Azmi, kebenaran itu diberikan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus diimarahkan sepanjang bulan Ramadan.

Namun katanya, ia perlu tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Masjid dan surau hendaklah mewujudkan pasukan petugas yang terdiri daripada lelaki dan wanita untuk mengawal jemaah sepanjang keberadaan mereka di masjid dan surau.

"Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah sentiasa mematuhi SOP Kesihatan dan Keselamatan yang berkuatkuasa sepanjang aktiviti ibadat di bulan Ramadan dilaksanakan," katanya.

 

 


Tag: