• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Terengganu Benar Solat Ikut Keluasan Masjid, Surau

KUALA TERENGGANU, 8  Julai - Terengganu membenarkan solat fardu, Jumaat dan solat sunat Aidiladha diadakan mengikut keluasan masjid dan surau dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkuatkuasa serta merta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Osman Muda berkata, perkara itu telah diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin setelah mendapat pandangan Mufti Terengganu, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Terengganu dan Pengarah Kesihatan negeri.

Katanya, selain solat aktiviti-aktiviti lain di masjid dan surau kekal tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran daripada MAIDAM.

“Kehadiran jemaah ke masjid dan surau hanya dibenarkan kepada ahli kariah yang bermastautin dan warganegara sahaja kecuali mana-mana yang diberi kebenaran khas oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.

“Selain itu, hanya jemaah lelaki diberi kebenaran untuk solat sunat Aidiladha di masjid dan surau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, imam-imam di semua masjid dikehendaki membaca qunut nazilah ketika solat Jumaat dan melakukan solat hajat selepas solat Jumaat

“Di samping itu, semua masjid dan surau perlu mengadakan solat hajat dan bacaan Surah Yasin setiap malam selepas solat Maghrib secara berjemaah don berdoa memohon supaya Allah S.W.T mengangkat wabak ini,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi  pelaksanaan ibadat  korban,  kenyataan  media oleh Yang Dipertua MAIDAM pada 1 Julai 2021 yang lalu masih terpakai.


Tag: